Panduan kenal pasti

Lebah, tebuan
atau lalat?

Kenali apa yang anda jumpa sebelum bertindak. Kerumunan lebah biasanya jinak dan boleh diselamatkan. Tebuan pula perlu ditangani oleh Bomba.

Kerumunan lebah di dahan pokok
Kerumunan lebah singgah di dahan
Alat kenal pasti

Apa yang anda jumpa?

Jawab 2–3 soalan. Perhatikan dari jarak selamat; tidak perlu mendekati sarang.

Kerumunan atau sarang?

Kerumunan ialah lebah yang sedang "pindah rumah"

Lebah membiak dengan memecah koloni. Ratu terbang bersama ribuan lebah pekerja dalam satu kerumunan, kemudian singgah berehat sementara lebah peninjau mencari tempat bersarang baharu. Ia bukan serangan.

Kerumunan (belum bersarang)

Rupa
Gumpalan lebah berbentuk bola atau titisan air yang bergayut. Tiada sisir kelihatan.
Lokasi
Tempat terbuka: dahan, pagar, tiang, bawah aircond atau bumbung.
Tempoh
Beberapa jam hingga 2–3 hari, kemudian beredar.
Kelakuan
Jinak. Tiada sarang atau anak untuk dipertahankan.
Tindakan
Lapor segera. Ini masa paling mudah untuk dipindah.

Sarang (sudah bersarang)

Rupa
Sisir lilin bersel heksagon kelihatan, atau lebah keluar masuk satu celah.
Lokasi
Dalam rongga dinding, siling, kotak atau pokok. Tualang dan lebah lalat membina sisir terdedah di dahan atau palang.
Tempoh
Kekal berbulan-bulan sehingga dipindah.
Kelakuan
Lebih agresif. Lebah mempertahankan telur dan madu.
Tindakan
Perlu dipindah oleh aktivis. Jangan tutup lubang masuk.
Jenis lebah di Malaysia

Kenali lebah yang mungkin anda jumpa

Terdapat kira-kira 20,000 spesies lebah di dunia: lebah madu, lebah kelulut, lebah tunggal dan lebah dengung. Ini yang paling kerap ditemui di Malaysia.

Lebah Tualang

Lebah Tualang

Bahaya

Apis dorsata

  • SaizBesar, ±17–20 mm
  • SarangSatu kepingan sisir besar terdedah, berbentuk separuh bulan, di tempat tinggi, terbuka dan berangin: dahan besar, bawah siling bangunan tinggi, jejantas.

Paling mudah marah. Jika diganggu, lebah membentuk "rantaian" bergayut sebagai tanda bersedia menyerang. Pemindahan selalunya perlukan skylift dan sekurang-kurangnya dua aktivis.

Lebah Lalat / Lebah Kerdil

Lebah Lalat / Lebah Kerdil

Risiko rendah

Apis florea, Apis andreniformis

  • SaizKecil, ±7–10 mm
  • SarangSatu sisir kecil (sebesar tapak tangan hingga bola) yang membalut ranting atau palang halus berdiameter 1–2 cm. Selalu di pokok renek, pagar, ampaian dan pokok bunga di halaman.

Agak jinak dan sengatnya lemah. Selalunya mudah dipindah bersama ranting.

Lebah Kampung

Lebah Kampung

Berhati-hati

Apis cerana

  • SaizSederhana, ±10–11 mm
  • SarangBeberapa sisir selari di ruang tertutup dan gelap: rongga dinding, siling, kotak meter, speaker, pokok berlubang. Kadangkala di kawasan terbuka. Spesies lain: A. koschevnikovi dan A. nuluensis (Borneo).

Inilah lebah yang paling kerap ditemui di rumah. Boleh diternak dalam kotak haif. Populasinya pernah hampir lumpuh di Malaysia pada 1996–1997 akibat hama Varroa.

Lebah Kelulut

Tidak berbahaya

Heterotrigona itama, Geniotrigona thoracica dan lain-lain

  • SaizSangat kecil, ±4–8 mm, kebanyakannya hitam
  • SarangDalam rongga pokok, tiang, paip atau dinding. Pintu masuk berbentuk corong daripada resin (propolis) yang melekit.

Tidak menyengat; paling teruk ia menggigit atau tersangkut di rambut. Madu kelulut bernilai tinggi. Jarang perlu dipindah.

Lebah Tukang

Risiko rendah

Xylocopa spp.

  • SaizSangat besar, ±20–30 mm, hitam berkilat
  • SarangMenggerek lubang bulat kemas (±1–1.5 cm) pada kayu mati, buluh, rasuk atau kekisi kayu. Hidup bersendirian, bukan berkoloni.

Dengungannya kuat dan menakutkan tetapi ia tidak agresif. Jantan tidak bersengat. Tidak membentuk kerumunan.

Lebah Eropah (Apis mellifera) di Malaysia biasanya hanya ditemui di ladang ternakan.

Bukan lebah!

Serangga yang sering disangka lebah

Ujian paling mudah: kerumunan lebah ialah gumpalan serangga, manakala sarang tebuan dan penyengat ialah binaan daripada kertas atau lumpur. MY Bee Savior hanya memindahkan lebah. Untuk tebuan, hubungi Bomba.

🐝 Lebah madu⚠️ Tebuan / penyengat🪰 Lalat bunga
BadanBerbulu, gemukLicin berkilat, pinggang halusSedikit bulu, mata sangat besar
Sayap442
AntenaPanjang, bengkok bersikuPanjangSangat pendek
Cara terbangTerus, berulang-alik ke bungaKaki panjang berjuntaiTerapung pegun di udara
SarangSisir lilin bersel heksagonKertas atau lumpurTiada
SengatSekali (sengat tertinggal)Berulang kaliTiada
Tebuan
BUKAN LEBAH

Tebuan

Bahaya

Vespa affinis

Hitam dengan jalur oren/kuning terang di pangkal perut, badan licin, ±20–25 mm. Sarang bujur bertutup seperti kertas atau kulit kayu berlapis, di pokok dan bumbung.

Sangat berbahaya: boleh menyengat berulang kali. Jauhkan diri dan hubungi Bomba (999).

Tebuan Malam / Kerawai
BUKAN LEBAH

Tebuan Malam / Kerawai

Bahaya

Provespa anomala

Perang kemerahan, besar, mata gelap. Aktif waktu malam dan sering terbang masuk ke rumah tertarik kepada lampu.

Matikan lampu dan tutup tingkap waktu malam. Jika sarang ditemui, hubungi Bomba.

Penyengat Hitam
BUKAN LEBAH

Penyengat Hitam

Berhati-hati

Ropalidia sumatrae

Penyengat hitam ramping. Membina banyak sisir kertas terbuka (tanpa kulit luar) di sudut siling dan bawah cucur atap. Ramai penyengat berkumpul di permukaan sisir, mudah disangka kerumunan lebah.

Sengatan sakit dan ia mempertahankan sarang. Jangan ganggu; hubungi Bomba atau kawalan perosak.

Penyengat Kecil
BUKAN LEBAH

Penyengat Kecil

Risiko rendah

Ropalidia sp.

Sarang kertas kecil memanjang yang tergantung pada wayar, ranting atau daun, dengan beberapa ekor penyengat sahaja.

Biasanya tidak menyerang jika tidak disentuh. Biarkan, atau minta bantuan kawalan perosak jika di laluan orang.

Penyengat Apung
BUKAN LEBAH

Penyengat Apung

Tidak berbahaya

Parischnogaster sp.

Penyengat sangat halus. Sarangnya seperti rantai cawan-cawan kecil tergantung pada benang atau akar halus.

Jinak dan jarang menyengat. Tidak perlu tindakan.

Angkut-angkut
BUKAN LEBAH

Angkut-angkut

Tidak berbahaya

Eumenes sp.

Penyengat tunggal yang membina sarang lumpur keras di dinding, pintu, perabot atau kain.

Tidak agresif. Biarkan, atau kikis sarang lumpur selepas kosong.

Lalat Bunga
BUKAN LEBAH

Lalat Bunga

Tidak berbahaya

Helophilus sp.

Seekor lalat yang menyamar seperti lebah: hanya 2 sayap, mata sangat besar, antena pendek, dan boleh "terapung" pegun di udara.

Tidak menyengat langsung. Ia pendebunga yang berguna.

Kes sebenar aktivis kami

Lebah boleh bersarang di mana-mana

Lebah peninjau mencari ruang yang kering, terlindung dan gelap. Di rumah, itu boleh jadi speaker lama, topi keledar, rak kasut atau siling.

Keselamatan

Buat dan jangan buat

Buat

  • Jauhkan kanak-kanak, warga emas dan haiwan peliharaan.
  • Tutup tingkap dan pintu berdekatan.
  • Matikan lampu berhampiran sarang pada waktu malam.
  • Ambil gambar atau video dari jarak selamat.
  • Lapor segera. Kerumunan boleh beredar dalam beberapa jam.

Jangan

  • Jangan bakar sarang. Ia membunuh lebah dan boleh menyebabkan kebakaran.
  • Jangan sembur racun serangga atau minyak.
  • Jangan baling, ketuk atau siram sarang.
  • Jangan tutup lubang masuk koloni dalam dinding atau siling.
  • Jangan cuba ambil madu atau sarang sendiri.
Lebah tualang membentuk rantaian bergayut Tanda amaran: lebah membentuk rantaian

Bila lebah lebih mudah menyerang?

  • Apabila sarang diganggu. Lebah melepaskan feromon penggera dan menyerang sasaran yang ditanda.
  • Cuaca mendung, hujan dan lewat petang.
  • Sarang yang sudah lama, atau yang pernah diganggu sebelum ini.
  • Pakaian gelap lebih mudah diserang. Pakai pakaian cerah dan tebal.

Jika diserang atau disengat

  • Lari terus ke dalam bangunan atau kenderaan dan lindungi muka.
  • Jangan terjun ke dalam air; lebah akan menunggu anda timbul.
  • Kikis sengat dengan kuku atau kad, jangan picit. Cuci dan tuam dengan ais.
  • Sesak nafas, bengkak di muka atau disengat banyak kali: dapatkan rawatan kecemasan segera (999).
Soalan lazim

Soalan yang selalu ditanya

Adakah kerumunan lebah berbahaya?

Biasanya tidak. Lebah dalam kerumunan tiada sarang atau anak untuk dipertahankan, jadi ia jinak. Tetapi ia tetap akan menyengat jika diganggu, jadi jauhkan diri dan jangan ganggu.

Berapa lama kerumunan akan tinggal?

Biasanya beberapa jam hingga 2–3 hari, sehingga lebah peninjau menemui tempat baharu. Jika lebah mula membina sisir, ia akan menetap dan perlu dipindah.

Kenapa tidak boleh bakar atau sembur racun?

Lebah ialah pendebunga penting untuk tanaman dan hutan kita. Membakar atau meracun membunuh seluruh koloni, membuat lebah yang terselamat lebih agresif, dan berisiko menyebabkan kebakaran atau pencemaran. Aktivis kami boleh memindahkannya dengan selamat.

Bolehkah saya halau kerumunan sendiri?

Hanya untuk kerumunan yang belum bersarang (baru beberapa hari, tiada sisir), pada waktu siang, dan selepas jiran dimaklumkan. Lebah tidak suka bau kimia yang kuat: basahkan kain buruk dengan sabun pencuci lantai, pewangi tandas atau kapur barus, dan letakkan berhampiran kelompok tanpa menyentuh lebah. Lebah akan terbang berkerumun, kemudian mengikut lebah peninjau pergi. Jangan lakukan pada lewat petang atau malam, dan jangan sesekali guna api. Jika tidak yakin, hubungi kami.

Siapa perlu dihubungi untuk sarang tebuan?

Hubungi Bomba (999) atau balai bomba berhampiran. MY Bee Savior hanya memindahkan lebah madu.

Ada lebah kelulut di rumah saya. Perlu buat apa?

Kelulut tidak menyengat dan tidak berbahaya. Anda boleh membiarkannya. Jika perlu dipindah, hubungi kami dan kami akan merujuk anda kepada penternak kelulut.

Kenapa lebah selalu datang ke rumah saya?

Lebah peninjau mencari ruang kering dan terlindung. Sisa sarang lama dan bau lilin juga menarik kerumunan baharu. Selepas koloni dipindah, bersihkan bekas sarang: sapu dengan minyak enjin terpakai dan selaputkan dengan tanah lumpur, kemudian tutup celah yang menjadi pintu masuk.

Ke mana lebah dibawa selepas dipindah?

Koloni dipindahkan ke kotak haif atau kawasan yang jauh dari orang ramai, seperti kebun dan kawasan pertanian, dan dijaga oleh ahli kami.

Masih tak pasti?Hantar gambar dan lokasi, kami bantu kenal pasti.

Gambar: koleksi aktivis MY Bee Savior. Kandungan berdasarkan Kursus Pemuliharaan dan Pemeliharaan Lebah Madu MY Bee Savior.